Diceritakan semula, sebuah kisah dari seorang kawan. Sebuah kisah yang mungkin menjadi pelajaran bagi pembaca blog ini khususnya.
Hidupnya penuh dengan cita-cita, bermacam-macam cita-cita yang ingin dia jadi. Semuanya adalah kerana pengaruh filem dan drama. Apabila melihat filem Star Wars, ingin rasanya menjadi seorang Hero seperti pahlawan Jedi. Apabila menonton Drama bersiri Stargate, teringin untuk menjadi seorang Saintis yang berjaya.
Menjelang sekolah menengah, dia tekad untuk menjadi seorang doktor. Berkorban untuk mengubati pesakit, berbakti kepada mansyarakat umum dengan sepenuh hati. Ketika itu, kalau nak jadi Doktor, gaji memang besar, lagipun status sosial pada pandangan masyarakat amatlah tinggi. Seronok rasanya kalau nak jadi doktor.
Bila masuk tingkatan 4 pula, diperkenalkan pula dengan subjek Biologi. Ketika itu subjek Sains masih lagi dalam bahasa Melayu, sekurang-kurangnya masih boleh tertanam minat untuk belajar lagi. Setelah lama belajar, terasa sukar pula untuk dapat A1.
“Asyik dapat B dan A2 je tiap-tiap kali peperiksaan Biologi, susah juga”
Menurut kawan itu, bunyinya macam tidak bersyukur, tapi bandingkan dengan subjek lain, kawan ini jauh lebih menyerlah. Untuk biologi pula, berusaha dengan bersungguh-sungguh, tetapi masih belum mencapai standard. Oleh itu;
“Aku memang tidak ada bakal kot dalam Medic, Engineering la” kawan itu menceritakan.
Setelah mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM, dia meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan. Persediaan sekejap sahaja di Malaysia dan kemudiannya terus terbang ke sebuah negara yang diminta untuk dirahsiakan.
Orangnya baik, ketika di Malaysia selalu ke masjid untuk solat berjemaah. Tetapi malangnya ketika berada di negara orang, sukar baginya untuk bersolat jemaah lantaran jauhnya perjalanan untuk ke masjid.
Lantaran itu bersolat berseorangan dirumah dan diawal waktu.
Kemudian datang pula rakan-rakan yang datang membawa mesej,
“kalau nak buat baik, tidak boleh sorang-sorang, kena berkumpulan sebab jika seorang memang susah nak jadi baik, silap-silap jadi makin jahat”
Kemudian dia pun cuba mengajak orang lain untuk turut sama menjadi baik. Beriktikaf di masjid, berkumpul memberi tazkirah dan peringatan kepada diri dan orang lain.
Sejak itu, cita-citanya berubah, sejak dia mengetahui
“Manusia ini seakan-akan terus terikut dalam sistem, sistemnya, sekolah kemudian masuk universiti, belajar pandai-pandai dapat gaji besar, bekerja, kahwin lepas tu dapat anak lepas tu mati”
Dia bercadang untuk tidak mengikut sistem yang telah menjadi program abad ini.
Kemudian dia mengetahui yang tujuan manusia diciptakan adalah sebagai seorang khalifah dan hamba Allah.
dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Azzariyat : 56)
dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi (Al-Baqarah : 30)
Tekadnya tetap, inginkan menjadi manusia yang benar-benar manusia dan mengikuti tugas yang telah diberi sebagai seorang manusia. Dia terus bertekad untuk walaupun menjadi seorang Engineer, tetapi seorang Engineer yang tidak terikut-ikut dengan sistem yang telah diatur abad ini.
Inginkan hidupnya punyai matlamat, punyai tujuan yang jelas, kerana baginya, jika tiada perkara yang dia sanggup berkorban kerananya, dia masih belum mengetahui akan erti kehidupan yang sebenar.
Begitulah sedikit perkongsian, cerita dari seorang kawan untuk dikongsi bersama.
Bila terdengar, sekadar terfikir, ada ke cita-cita murni lain dari cita-cita ini?
“Jadilah manusia yang kakinya berpijak ditanah, tetapi cita-citanya setinggi bintang di langit”
Artikel berkaitan:
Analogi Pen Untuk Memahami Tujuan Hidup





Recent Comments